Wednesday 20 April 2011

si tuKang maSak

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Memasak sering kali dikaitkan sebagai tugas hakiki seorang wanita sehingga ada mengatakan, seorang perempuan itu wajib pandai memasak sebelum meneruskan niat untuk berkahwin. Dahulu, antara kriteria calon isteri disarankan orang tua adalah memilih anak gadis yang pandai memasak. Kononnya, kerana masakanlah hati suami tertambat di rumah, hingga tidak lagi terliur masakan di luar. Sejauh manakah kebenarannya?

Sinonim seorang lelaki pula, kebanyakan mereka hanya tahu bertanya bila makanan dah sedia. Paling kurang, hendak tahu menu apa yang ada. Jarang-jarang lelaki akan masuk ke dapur untuk menolong menyediakan makanan. Apatah lagi hendak memasak. Setakat sebagai 'tukang rasa', pasti ramai...

Ada juga yang memandang serong apabila seorang lelaki berkebolehan dalam memasak. Jika lelaki bujang, ada yang cuba mencadangkan lelaki yang memasak mungkin seorang 'lelaki lembut'. Andai sudah berkeluarga, pandangan nakal mungkin menyusul bahawa barangkali mereka takutkan isteri! Tak patut sungguh!

Namun, jika dilihat fenomena di restoran atau kedai makan, biasanya tukang masaknya adalah lelaki. Bagaimanapun, jika anda sedar, kebanyakan rancangan masakan tempatan atau luar negara sering menampilkan tukang masak atau chef yang terdiri daripada lelaki.

Lihat saja gaya bersahaja Chef Wan yang leka memasak sambil berceloteh atau aksi Jamie Oliver dan Martin Yan di saluran Asian Food Channel (AFC). Mereka tampak begitu yakin, malah cukup mahir di dapur sehingga mampu menarik perhatian wanita dek kerana penampilan yang tampak seksi atau mungkin juga macho.

Chef Wan
                        

Mungkin itu hanya alasan direka wanita supaya suami atau teman lelaki mereka rajin masuk dapur atau mungkin itu kebenaran yang wajar menjadi pendorong bagi lelaki jika ingin memikat perempuan.

Kalau lelaki pandai memasak, ia sebenarnya bonus buat kaum wanita. Situasi sekarang sudah berubah. Jika dahulu kebanyakan isteri surirumah sepenuh masa, kini isteri turut sama membanting tulang empat kerat keluar rumah untuk mencari rezeki. Mereka juga tentu sama penatnya dengan suami dan ada kalanya tidak punya kesempatan untuk menyediakan makanan di rumah.

Jika suami punyai skil memasak, di sinilah untungnya si isteri. Andai punya ruang terluang lelaki juga wajar membantu mengambil alih tugas isterinya di dapur. Sekurang-kurangnya ringanlah sedikit beban isteri. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Aisyah r.a. pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada di dalam rumahnya? Maka Aisyah menjawab: “Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, baginda keluar untuk solat.”

Nah... Bukankah Rasulullah SAW membantu isteri-isteri baginda melakukan kerja-kerja rumahtangga? Rasulullah sering menolong isterinya melakukan kerja di rumah yang baginda dapat melakukan sendiri seperti menjahit baju yang koyak, memasak, membersihkan laman dan kerja lain. Sifat ringan tangan suami membantu isteri melakukan kerja rumah bukan semata-mata meringankan tugas isteri, tetapi menimbulkan rasa hormat isteri. Isteri berasakan dirinya lebih disayangi dan dihormati.

Cuba bayangkan keadaan begini. Seorang lelaki yang punya jawatan besar di syarikatnya pulang ke rumah namun tidak lokek meluangkan kudrat untuk memasak bersama isteri. Bayangkan dengan masih memakai baju kerjanya siang tadi, seluar belum bertukar, tetapi menyinsing lengan memotong bawang. Nampak 'cool' tak? Memasak, mengemaskan rumah, menjahit serta menyediakan pakaian anak, sepatutnya bukan perkara kekok yang tidak boleh dilakukan oleh kaum lelaki pada hari ini.

No comments:

Post a Comment